Sunday, January 1, 2012

DATO' PADUKA ABU BAKAR TAIB, MP LANGKAWI - KERUSI SELAMAT


WINNABLE CANDIDATE ?
Datuk Paduka Abu Bakar Taib merupakan Ahli Parlimen Langkawi, Kedah. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Parti Keadilan Rakyat, Wan Salleh Wan Isa dengan majoriti sebanyak 4,970 undi. Datuk Paduka Abu Bakar Taib memperolehi 13,762 undi berbanding Wan Salleh Wan Isa memperolehi hanya 8,792 undi.
Dato' Abu Bakar Bin Taib dilahirkan pada 21 Mac 1943 di Kampung Raja, Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi, Kedah. Menerima pendidikan rendah di Sekolah Mukim Padang Matsirat, Langkawi, Kedah dan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah. Meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Malaya pada tahun 1965 sehingga 1969 sehingga dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian. Seterusnya, beliau menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana di Australia National University di dalam bidang Ekonomi (Agricultural Development).

Kerjaya:
Pegawai Pertanian Daerah Krian (1969-1971)
Pegawai Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama (1971-1973)
Pengarah Pertanian Negeri Perlis (1973-1976)
Timbalan Ketua Bahagian Pertanian di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1976-1978)
Pegawai Tadbir MADA (1976-1990)
Pengarah Urusan Yayasan Amanah Saham Anak Langkawi (ASAL).
Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian (11 Mei 1995- kini)
Penglibatan Politik :
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuah (1990)
Exco Negeri Kedah memegang jawatan sebagai Pengerusi Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar
Ketua UMNO Bahagian Langkawi
Ahli jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah (1995)
Pengerusi UMNO cawangan Kampung Raja / Kampung Atas. (1991- kini)
Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :
Penasihat 'Women Institution of Langkawi' (WI), cawangan Langkawi
Penasihat Koperasi Pekebun-Pekebun
Ahli Kedah Royal Club
Ahli Jemaah Dato'- Dato' Negeri Kedah
Ahli Sultan Abdul Hamid Old Collegians Association (SAHOCA ).
Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan oleh kerajaan pingat dan darjah kebesaran, iaitu P.J.K., B.C.K., S.D.K., K.M.N. dan D.S.D.K yang membawa gelaran Dato'.

Dewasa ini negara dilanda pelbagai spekulasi yang lazim berlaku menjelang pilihanraya. Ada generasi tua yang dipinta malah bersedia berundur bagi memberi jalan kepada generasi muda. Ada yang telah lanjut umur namun ternyata masih berwibawa dan harus dikekalkan. Ada anak muda yang tidak segan-segan menawarkan diri untuk dipertimbangkan sebagai calon wakil rakyat.
Malangnya ada juga segolongan yang masih ingin kekal abadi dalam kedudukan enak sebagai wakil rakyat, terutama sekali di kawasan-kawasan parlimen atau DUN yang dikira 'selamat' oleh parti. Ini walaupun mungkin dari pelbagai segi, mereka ternyata sudah 'tamat tempoh' perkhidmatan. Contoh terulung di antara golongan 'tamat tempoh' adalah Datuk Paduka Abu Bakar Taib, ahli Parlimen Langkawi.
Datuk Bakaq seperti dikenali oleh masyarakat Langkawi, merupakan anak pulau yang dikenal sopan dan murah hatinya di sekitar Kampung Raja. Dari kedudukan sebagai seorang pegawai kerajaan, beliau dibawa masuk ke alam politik oleh mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, juga bekas ahli Perlimen Langkawi, sebagai usaha Tan Sri bagi memberi peluang kepada anak pulau untuk mewakili Langkawi di peringkat kerajaan pusat pada satu masa kelak.
Malangnya, walaupun Datuk Bakaq memang ahli dalam selok-belok politik kampungan, dan mungkin berwibawa dalam menjalankan tugas kerajaan, usaha beliau tidaklah setanding pencapaian ahli Parlimen segenerasi dengannya. Datuk Bakaq bukan sekadar lebih tua dari 'sponsornya' Tan Sri Sanusi, malah duduk segenerasi dengan Datuk Paduka Rafidah Aziz dan Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang terlihat jauh kebilangan dalam bandingan.
Mungkin juga Datuk Bakaq lambat naik sebab beliau lambat aktif politik, tetapi apabila kita meninjau kabinet pada zaman Datuk Bakaq menjadi Setiausaha Parlimen, yang sama tahap dengannya pada masa itu termasuklah Datuk Shafie Apdal yang kini sudah mencapai tahap Menteri. Datuk Mahathir Khir pula telah menyertai kerajaan di kemudian hari dan terus ke taraf Timbalan Menteri. Datuk Bakaq malangnya telah lama hilang kedudukan kerajaannya.
Datuk Bakaq suka menggunakan modal yang kekalnya beliau di Langkawi adalah kerana orang Langkawi mahukan orang pulau dan tidak mahu orang luar. Ini adalah modal lama beliau yang digunakan untuk merampas kedudukan Ketua Bahagian UMNO Langkawi dahulu untuk menyembunyikan tangan Datuk Anwar Ibrahim yang sebenarnya menggunakan Datuk Bakaq menjatuhkan Tan Sri Sanusi Junid. Beliau hanya sekadar alat...
Datuk Bakaq mungkin lega yang sesudah Anwar disingkirkan yang beliau sebagai 'orang Anwar' kekal sebagai ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Langkawi. Beliau mungkin tidak sedar yang Tun Dr Mahathir mengekalkan Tan Sri Sanusi sebagai pengerusi BN bahagian seketika untuk mengekalkan perpaduan UMNO dan BN. Beliau juga terus dikekalkan sementara anak-anak muda Langkawi seperti 'Nawi' (ADUN Kuah, Ir. Nawawi Ahmad) dan Mohd Rawi Abd Hamid.
Malang pula nasib Nawi, yang apabila Rawi, Ketua Pemuda Langkawi merangkap Ketua Pemuda Kedah, bangun mengecam Tun Dr Mahathir pada kemuncak perbalahan Tun dan Pak Lah, Nawi sebagai 'senior' Rawi saling tercemar nama di kalangan penduduk Langkawi yang sememangnya mengenang budi dan jasa Tun kepada pembangunan serta kemakmuran rakyat Langkawi. Sejurus selepas Rawi terlepas kata, 3,000 penduduk Langkawi menyambut kedatangan Tun.
Mungkin ada juga penduduk Langkawi yang tertanya-tanya kenapa Datuk Bakaq sendiri tidak bangun mempertahankan Tun Dr M pada masa itu?
Keinginan Datuk Bakaq untuk kekal sebagai ahli Parlimen Langkawi kini mengancam kerusi-kerusi Parlimen mahupun DUN yang sudah selamat bagi UMNO dan BN sekian lama. Nawi dan/atau Rawi semestinya bercita-cita untuk bertanding pada kali ini, dan anak pulau berdua ini tidak boleh dibawa ke arah kemenangan dalam gandingan dengan Datuk Bakaq. Luka lama sekitar penghinaan terhadap Tun Dr M masih belum terubat.
Datuk Mahadzir Khalid kelihatan sedar akan perkara ini. Dalam usahanya mengubat luka di Langkawi serta Kedah, beliau sudah mencadangkan anak bongsu Tun Dr M, Datuk Mukhriz Mahathir, yang terlihat dinamis sebagai seorang usahawan mahupun dalam kepimpinan parti dan pergerakan NGO untuk mengambil tempat Datuk Bakaq sebagai calon Parlimen Langkawi. Pencalonan beliau akan dilihat sebahagian dari pohonan maaf pemimpin UMNO negeri kepada Tun Dr M.
Namun Datuk Bakaq tetap berdegil ingin mengekalkan kedudukannya...
Kenapakah Datuk Bakaq begitu degil dalam tindak-tanduknya? Begitu sekali degilnya sehingga 24 dari 91 cawangan UMNO Langkawi yang dipimpin kaum keluarganya jauh-dekat serta rakan-taulannya dikerah untuk menuntut pengekalannya. Tidakkah beliau sedar yang di kalangan pemimpin 24 cawangan ini pun, terlalu ramai yang malu-alah menyokongnya hanya kerana sopan-santun Melayu yang tidak menolak permintaan orang tua keluarga?
Datuk Bakaq bukanlah Kayu Jati yang kian kuat dari zaman ke zaman seperti Tunku Razaleigh Hamzah (KuLi) yang penting dalam usaha mengembalikan Kelantan kepada UMNO walaupun usianya menjangkau 70 tahun. Datuk Bakaq patut memberi peluang kepada Buluh Muda seperti Datuk Mukhriz untuk bertanding dan meruncing demi masa depan Langkawi, Kedah dan UMNO.
Langkawi tidak perlu tunggul kayu dalam susunan tiang pembangunannya...

Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi
Ahli UMNO Cawangan Bendang Baru, Langkawi

No comments:

Post a Comment